Rabu, 17 Februari 2010

Seni Bina Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

(Antara Masjid yang terindah di Malaysia dan di dunia)

Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Sejarah

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zamanSultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.

Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda danRaja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan. Perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah kira-kira $22,000.00.

Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

Arkitek

Arkitek yang ditugaskan mereka bentuk masjid ini ialah Encik Hubbeck, yang menggunakan seni reka Moor dan Encik Caufield, jurutera Negeri Perak, telah ditugas melaksanakan bangunan masjid ini. Seni reka yang diilhamkan oleh Encik Hubbeck telah menjadi Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.

Reka bentuk

Dari segi reka bentuk iajuga amat menarik. Pelannya telah disediakan oleh Pereka bentuk Kerajaan Negeri-Negeri Melayu, Arthur Benison Hubback dibawah penyeliaan W. S. Huxley. Ia berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.

Bentuk dinding masjid ini memperlihatkan sebuah bangunan berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.

Masjid Diraja

Sebelum Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, maka Masjid Ubudiah adalah Masjid Negeri Perak. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan biasanya penyandang jawatan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mahtlpun jawatan Orang Kaya-kaya SetiaBijaya Diraja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Darul Ridzuan).

Tampak Sebelah Kanan

Tampak Sebelah Kiri

Tampak Hadapan Tampak Belakang

Kubah masjid ini berbentuk bawang mengambil motif seni bina India Moghul. Begitu juga dengan kehadiran chatris di setiap menara. Se

lainnya, seperti susunan bata marmar, arch dan belang pada dinding adalah berunsurkan seni bina Moorish.

Terdapat arch bentuk kunci di sekeliling bangunan masjid ini. Ini telah membentuk identiti yang kukuh terhadap elemen seni bina Moorish pada bangunan ini. Ini menunjukkan betapa obsesnya penjajah British terhadap seni bina Moorish di dalam setiap reka bentuk bangunan, sama ada bangunan kerajaan mahu pun masjid di negara ini pada waktu itu. Sesungguhnya pertembungan elemen classical seni bina Islam dan Barat telah menghasilkan suatu objek seni bina yang romantis dan menakjubkan.


Masjid ini dilakar di atas pelan yang berbentuk segi lapan (oktagon). Geometri segi lapan dikembangkan mengikut fungsi penggunaan ruang masjid ini. Segi lapan teras (core) adalah merupakan ruang solat utama. Lapisan segi lapan luaran pula adalah merupakan serambi masjid yang memberi sokongan untuk jemaah solat yang lebih ramai.

Pertambahan ruang telah belaku kepada masjid ini iaitu dengan kehadiran ruang belakang yang lebih luas, berlawanan dengan geometri asal yang bersegi lapan itu. Ruang belakang adalah bersifat empat segi memaksimakan penggunaan tanah yang ada di sekitar masjid. Masjid ini mempunyai tiga anjung utama dan satu anjung di bahagian belakang untuk kaum wanita.

Konklusinya, Masjid yang seindah dan seteguh mana pun tiada bezanya jika tiada pengisian ibadah di dalamnya. Jemaah juga memainkan peranan penting untuk kesatuan dan perpaduan umat Islam sejagat. Kita perlu lebih pentingkan Kuantiti daripada Kualiti sesebuah Masjid. Marilah kita beribadat secara jemaah di Surau-surau atau Masjid-masjid berdekatan. Oleh itu, Masjid didahulukan, Ibadah diutamakan.

Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu, Malaysiana.pnm.my, dan Pejuang Warisan.!

Selasa, 16 Februari 2010

Wasiat Raja-Raja Melayu




Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:


1.Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu;
(sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA)



2.Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;


3.Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;


4.Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;


5.Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;


6.Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.
7.Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Isu Bahasa Melayu yang Terpinggir



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt
Salam Sejahtera

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Pada kali ini, saya amat tertarik untuk mengupas lanjut mengenai keadaan Bahasa Melayu yang kelihatan agak terpinggir berbanding bahasa Inggeris yang ketika ini di gunakan secara meluas di seluruh dunia terutama di Malaysia.

Jika diperhatikan, bukan semua rakyat yang berwarganegara MALAYSIA yang tahu dan mahu bertutur dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu semakin kurang digunakan terutama dalam masyarakat Melayu sendiri yang lebih MENGAGUNG-AGUNGKAN bahasa inggeris untuk berkomunikasi dengan orang lain. Lihatlah saja pemimpin-pimimpin atasan terutamanya Melayu yang berasa BANGGA berbahasa asing dari bahasa sendiri seperti lupa asal-usul nya sendiri. Bahkan di media massa dan media elektronik juga lebih memberikan tumpuan dalam penggunaan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu.

Dalam mengejar arus kemodenan dan peradaban ini, masyarakat semakin ghairah menghantar anak-anak mereka ke kelas Bahasa Inggeris kerana tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan arus perubahan. Namun apa yang menyedihkan ialah tahap penggunaan anak-anak mereka dalam Bahasa Melayu tidak pernah di persoalkan. Mereka lebih sanggup melihat anak-anak mereka petah berbahasa Inggeris berbanding bahasa melayu yang semakin hanyut di telan zaman.

Saya tidak pernah menidakkan Kepentingan Bahasa Inggeris dalam bidang ilmu dan penggunaannya yang semakin meluas di terima masyarakat dunia namun sanggupkan kita mengorbankan bahasa Melayu untuk mengejar arus kemajuan? Kenapa? Adakah penggunaan Bahasa Melayu dalam komunikasi seharian semakin lapuk dan "tidak enak" di tutur dalam dunia yang semakin maju ini?

Untuk pengetahuan anda, saya telah mengikuti program pertukaran pelajar selama setahun di Jerman. Seperkara yang mengagumkan saya ialah kesedaran mereka untuk lebih memartabatkan bahasa ibunda mereka berbanding bahasa lain. Mereka lebih selesa dan bangga dengan bahasa mereka sendiri sehinggakan jika ada pelajar luar atau pelancong asing yang datang ke negara itu perlu belajar bahasa mereka sendiri. Pada mulanya saya tiba dan tinggal di sana bersama keluarga angkat, saya tidak tahu bertutur dalam bahasa Jerman. Saya hanya menggunakan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan mereka. Saya berhajat untuk tidak mempelajari bahasa mereka kerana lebih selesa menggunakan bahasa inggeris dengan mereka. Namun tanpa disedari, keadaan ini tidak menyelesakan mereka kerana mereka mahu saya mempelajari bahasa mereka. Oleh itu, saya diberi tempoh (Februari hingga April) 2 bulan untuk bertutur dalam bahasa inggeris sebelum saya perlu bertutur dan belajar dalam bahasa mereka(Bahasa Jerman). Selepas 2 bulan tersebut, saya cuba untuk bertutur dalam bahasa jerman namun ia amat sukar dan memeritkan.
Mereka juga setiap hari akan bertutur dengan saya dalam bahasa Jerman kepada saya. Keadaan ini amat menyakitkan saya kerana perlu belajar Bahasa Jerman yang amat susah berbanding bahasa inggeris sehingga kadang-kadang membuatkan saya berputus asa. Selepas 5 bulan saya belajar mempelajari Bahasa tersebut akhirnya saya dapat berkomunikasi dalam bahasa Jerman dan dapat memahaminya hampir 80%. Usaha saya ini berjaya dan mulai dari saat itu saya terus berkomunikasi dalam bahasa Jerman sehingga membuatkan penggunaan bahasa Inggeris saya semakin merosot. Seperkara yang terus dalam ingatan saya ialah selepas pulang dari sekolah untuk menaiki sebuah bas. Ketika itu, saya tidak tahu bertutur dalam bahasa Jerman dan saya berasa ragu-ragu adakah bas yang saya akan naiki itu sampai ke rumah saya. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk bertanya kepada Pemandu Bas mengenai hal itu dalam bahasa inggeris. Namun ia amat menghampakan apabila pemandu bas menjawab dalam Bahasa Jerman dalam keadaan marah dan saya memang tidak faham. Saya membuat keputusan untuk terus saja keluar dari bas tersebut. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berjalan kaki saja untuk balik ke rumah. Peristiwa itu sentiasa berlegar-legar dalam fikiran saya sebagai kenangan yang pahit di Jerman.

Saya amat berbangga dengan mereka di atas pelbagai usaha mereka memartabatkan bahasa ibunda mereka daripada bahasa yang lain. Bukan setakat di negara Jerman saja, namun di negara Jepun, Korea, China, Itali, Perancis, Russia dan di negara yang berdekatan kita juga , Thailand. Kita perlu mempelajari bahasa mereka terlebih dahulu sebelum belajar di negara mereka. Tetapi apakah situasi yang sama ini akan dihadapi oleh pelajar-pelajar asing yang ingin menyambung pelajaran di Malaysia?! Tentunya TIDAK kerana kita lebih SANGGUP menagung-agungkan Bahasa Inggeris dari Bahasa Melaayu.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan semakin terbatas. Bahkan buku-buku dalam Bahasa Melayu juga kini sukar di dapati memenuhi Kedai-kedai buku. Pengambilalihan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian (Termasuk temuduga dan urusan pejabat) menyebabkan penggunaan bahasa Melayu terbantut dan menyedihkan. Malah ada yang berpendapat bahawa Bahasa Melayu tidak sesuai dan rendah tarafkan untuk kebanyakan urusan harian. Sedar tidak sedar, Bahasa Melayu yang diuar-uarkan sebagai Bahasa Kebangsaan hanya tinggal nama. Pemimpin atasan hanya cuma pandai tanam tebu di tepi bibir untuk menjadikan bahasa perututuran rakyat malaysia namun semuanya sebaliknya.

Kini kita boleh lihat saja kebanyakan anak-anak muda lebih selesa berututur seharian dalam bahasa Inggeris atau Manglish (Melayu+English). Saya tidak dapat bayangkan penggunaan Bahasa Melayu 10 atau 20 tahun lagi yang saya rasakan tidak akan wujud lagi. Bahasa Melayu juga tidak diiktiraf Dunia berbanding Bahasa Indonesia. Jika kita lihat dalam sudut pandang sejarah, faktanya Bahasa Indonesia itu tidak pernah wujud. Bahasa Melayu adalah bahasa Rasmi seluruh Nusantara sebelum kemunculan Bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia muncul apabila Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno yang ingin membezakan Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Melayu Indonesia kerana permusuhan yang berlaku kerana perebutan Sarawak dan Sabah dari Malaysia. Sejak itu, Bahasa Melayu lama diperbaharui dan diubah sedikit demi sedikit dan di ubah namanya dari Bahasa Melayu ke Bahasa Indonesia. Kini tertera di depa mata kita sendiri bahawa Bahasa Indonesia lebih di hargai dan di martabatkan seluruh dunia berbanding Bahasa Melayu.

Jika kita lihat Pemimpin-pemimpin dari Eropah seperti yang dinyatakan tadi yang memartabatkan bahasa mereka sendiri sehinggakan di mesyuarat sedunia pun mereka menggunakan bahasa ibunda mereka dan hanya menggunakan jurubahasa untuk menterjemahkan bahasa mereka. Ingatlah bahawa Bahasa melambangkan Bangsa. Sesuatu Bangsa itu akan teguh kerana bahasanya.

Kesimpulannya, kita perlu memartabatkan Bahasa Melayu kita sendiri tidak kira dalamMasyarakat Melayu sendiri atau Masyarakat Cina atau Masyarakat India atau lain. Di samping itu, kita mantapkanlah penggunaan Bahasa Inggeris. Janganlah kita ambil sikap acuh tidak acuh dalam perkara ini yang akan membawa bencana lebih besar lagi. Martabatkan Bahasa Melayu dan Marilah Bersama untuk terus berjuang demi Bahasa Ibunda yang tercinta kita ini. Semaikan dalam hati, luhurkan dalam jiwa agar Bahasa Melayu terus di martabatkan di seluruh dunia.

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Anak merak Kampung Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari

Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bahasa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

Yang kurik tu kundi
Yang merah saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara adat pesaka

Manis sungguh gula Melaka
Jangan dibancuh dibuat serbat
Sungguh teguh adat pusaka
Biar mati anak jangan mati adat

Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli

Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di rumpun buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh

Nukilan Penuh ikhlas dari Mohamad Hakim (Pejuang Warisan)

Ahad, 14 Februari 2010

Masalah Perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang


Terbaru, Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP pula dikatakan membuat satu lagi masalah apabila membatalkan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang yang secara tradisinya diadakan sepanjang tahun. Sehubungan dengan itu, ia adalah satu penghinaan kepada seluruh umat Islam di atas tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan tersebut dan di dakwa melenyapkan syiar Islam di negeri itu.

Satu salinan surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 5 Februari 2010 yang telah menyatakan bahawa Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang telah memutuskan untuk membatalkan perarakan tradisi Maulidur Rasul di dalam mesyuaratnya pada 3 Februari lalu.

Salinan surat yang ditujukan kepada semua ketua-ketua Jabatan dan agensi di peringkat persekutuan, negeri dan juga pihak berkuasa tempatan itu telah meminta semua pihak terbabit bagi menghantar wakil untuk Majlis Perhimpunan Ummah yang bakal diadakan pada 26 Februari bagi menggantikan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri.

Pelbagai Pemimpin Atasan Terutama Pemimpin-pemimpin UMNO melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam terutama di negeri itu.

Unjuran daripada reaksi pelbagai pihak, YAB Lim Guan Eng telah membuat kenyataan pada lewat malam semalam dengan menjelaskan bahawa arahan pembatalan itu adalah tidak benar sama sekali. Bahkan, menurut beliau sambutan kali ini akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut bermula daripada 25 Februari 2010.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim semasa ceramah umum di Tapak Pesta Sungai Nibong menafikan Kerajaan Negeri ada mengeluarkan arahan supaya perarakan itu dibatalkan.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan laporan akhbar bahawa perarakan tersebut dibatalkan merupakan satu pembohongan dan sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri.

"Kita tidak pernah membatalkan perarakan Maulidur Rasul, malah tahun ini kita buat sambutan selama tiga hari.

"Saya sendiri pernah turut serta dalam perarakan ini pada 2008, takkan saya mahu batalkan pula.

"Laporan Utusan Malaysia adalah tidak betul, ini satu pembohongan dan fitnah," katanya.

Kesimpulannya YB Lim Guan Eng perlu menjelaskan perkara ini dengan jelas dan jujur sebagaimana cogan kata bagi pentadbiran beliau yang menjurus kepada tema Cekap, Akauntabiliti dan Telus. Beliau juga perlu sentiasa menjaga sensitiviti rakyat di negeri itu supaya tidak berlaku pergaduhan antara kaum dan penindasan terhadap golongan minoriti di negeri itu. Pihak-pihak Media tidak kira media massa atau media elektronik juga perlu memainkan peranan yang penting untuk menyampaikan saluran-saluran informasi yang tepat dan betul. Jika ada mana-mana pihak yang cuba menyonsang dan mengubah laporan ini, ia akan menjadi suatu Fitnah semata-mata dan menimbulkan reaksi kurang senang antara kedua-dua pihak.

Sumber BERNAMA dan Pejuang Warisan

"Wahai orang- orang yang beriman apabila datang kepadamu orang fasik yang membawa berita(fitnah) maka perhatikanlah dengan teliti (kebenarannya)." 49: 6


"Sabda Rasulullah S.A.W: "Seburuk- buruk hamba Allah iaitu orang yang berjalan ke sana ke mari dengan fitnah yang memecah-belahkan antara kekasih yang suka mencari kecacatan orang- orang yang baik." (HR: Ahmad)


"Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh." 2: 217

Datuk Seri Zahrain Tinggalkan PKR


PETALING JAYA 12 Feb. – Tidak mahu dilihat sebagai sebahagian daripada ‘gerombolan yang menjahanamkan negara, bangsa dan agama Islam’, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini meletak kesemua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti itu serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Katanya, semasa beliau dijemput oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai parti itu dulu, beliau yakin PKR berjuang untuk reformasi dan perubahan tanpa berkompromi dengan nilai-nilai bangsa serta agama.

Namun katanya, beliau kini ragu dengan matlamat dan cara perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang kerana bekerjasama dengan DAP yang disifatkannya mengamalkan politik sempit.

Katanya, ini dapat dilihat melalui gaya kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membelakangkan orang Melayu beragama Islam khususnya golongan penjaja di negeri itu.
Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang menambah, dasar cauvinis dan ekstremis yang dibawa DAP di negeri itu turut dibuktikan dengan tindakan Guan Eng mempolitikkan institusi Islam seperti pusat zakat baru-baru ini.

‘‘Saya tidak mahu sejarah menghukum saya kerana tidak berbuat apa-apa dalam berdepan dengan keadaan tersebut.

‘‘Saya tidak mahu generasi akan datang melihat saya sebagai sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama saya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim dan Pengerusi Tetap PKR cabang Bayan Baru, Ismail Mohd. Ali.

Zahrain bagaimanapun menegaskan prinsipnya untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas tanpa menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) serta belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin pembangkang mahupun pemimpin BN mengenai tindakannya hari ini.
Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa tindakannya keluar daripada PKR mempunyai kaitan dengan isu ‘pembelian’ wakil rakyat pembangkang seperti di uar-uarkan Anwar sebelum ini.
‘‘16 September itu apa cerita? Saya pun kecewa dengan 16 September, tidak timbul isu beli membeli,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada janji Anwar sebelum ini untuk merampas kerajaan berikutan dakwaan mempunyai ramai wakil rakyat BN yang akan berpaling tadah menyertai pembangkang tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata Zahrain, tindakannya meninggalkan PKR antara lain didorong oleh gaya kepimpinan Guan Eng yang membelakangkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia dalam penyingkirannya sebagai Pengerusi Island Golf Properties (IGP) Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, katanya, setelah penyingkiran beliau itu diketahui umum, Guan Eng mengarahkan agar butiran mesyuarat tersebut tidak direkodkan.

‘‘Inilah pemimpin yang kononnya mahu menerapkan prinsip dan amalan cekap, bertanggungjawab dan telus (CAT) dalam pentadbiran beliau,” tegasnya.

Dalam laporan portal berita propembangkang The Malaysian insider semalam, Guan Eng menyatakan Zahrain masih merupakan Pengerusi IGP.

Zahrain sebelum itu mendakwa Guan Eng telah memecatnya daripada jawatan berkenaan ekoran kritikan pedas beliau melabelkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya baru-baru ini.

Dalam pada itu Salehudin yang ditemui selepas sidang akhbar berkenaan menjelaskan kehadirannya hanyalah sebagai tanda sokongan kepada Zahrain yang merupakan kawan baiknya sambil menafikan beliau turut akan meninggalkan PKR.

Zahrain dan Salehudin dikenali sebagai teman dan penyokong kuat Anwar.

Sumber Utusan Malaysia 13/02/2010

Melayu Oh Melayu Terpinggir




Assalamualaikum wbt

Saya seorang Anak Melayu Islam Pulau Pinang berasa terpanggil untuk menyatakan hasrat dan pendapat saya dalam blog ini. Ini merupakan isu yang amat kritikal ketika ini. Saya bukan hendak menimbulkan apa2 mengenai isu perkauman tetapi mengenai bangsa saya yg semakin merosot di negeri ini. Bagi saya, Melayu di Pulau Pinang semakin terpinggir. Yang peliknya, banyak melayu yang lari dan berpindah ke seberang prai kerana mereka kata rumah di Pulau Pinang sangat mahal dan mereka tidak mampu membelinya. Oleh itu, mereka membuat keputusan untuk membeli rumah di seberang terutamanya di KULIM. Ingin saya nyatakan disini, saya tetap dan tetap akan tinggal di daerah Pulau walaupun kos nya tinggi. Melayu perlu berfikiran terbuka dan pandang lebih ke hadapan. Kita mesti bersatu dalam satu bangsa dan satu agama. Oleh itu, bangsa Melayu perlu kehadapan dan berpendidikan tinggi untuk terus maju ke hadapan. Kita mesti berfikir di luar kotak dan terus berjuang untuk mempertahankan bangsa mereka disini terutama di kawasan Pulau ini yang dikatakan ditelan arus pembangunan. Walaupun bangsa cina bnyk disini, namun kita mesti byk belajar dari mereka. Buang sikap lemah dan malas dalam diri kita. Untuk kita maju setanding mereka, kita mestilah banyak mencontohi sikap positif dalam diri mereka. Barulah mereka akan hormat pada kita dan kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka. Bangsa Melayu sekarang perlu mempunyai Pendidikan yang tinggi . Barulah kita dapat membela bangsa sendiri. Jangan kita berckap tanpa berfikir tetapi berfikirlah sebelm bercakap. Melayu di Pulau Pinang perlu bangkit segera... Kita boleh lihat, kebanyakan perniagaan dan perumahan yang mahal di monopoli oleh kaum cina. Mana melayu?? Jika dahulu mahu beli rumah, Melayu hanya bergantung DEB namun sekarang DEB telah dimansuhkan di Pulau Pinang. Kemana lagi Melayu mahu pergi? Oleh itu, Kita mesti bangkit dan terus maju dalam pendidikan.. Kenapa ramai Melayu jadi Mat rempit..? Kerana sikap melayu yang sering alpa dan lemah dalam pendidikan. Marilah kita buang sikap dan fikiran itu dan kita perlu jaga agama,bangsa dan negara. Sebab melayu terpinggir ialah melayu kurang pendidikan. Jadi, mulai sekarang., tanamkan semangat dan azam pada diri untuk membela Agama dan bangsa di negeri ini. Ini Tanah Melayu. Tanah Kita yang dikongsi bersama kaum lain. Marilah kita teguhkan perpaduan antara kita. Jangan biarkan Agama,Bangsa dan Negara kita tergadai.. ingatlah ...Takkan Melayu hilang didunia.Takkan Islam terus di hina.. Contohi Kaum yang lebih maju, saingi mereka dan bekerja bersama mereka..insyallah kita boleh setanding dgn mereka..Janganlah kita sentiasa menjadi pak turut dalam sesuatu kerja yang dilakukan. Bangkitlah WAHAI BANGSA SEAGAMAKU.
wassalam..allahuakhbar...
akhir kata, janganlah politikkan isu ini kerana ia suatu isu yg benar dan jelas terpampang di mata kita.
wassalam

Nukilan,
Pejuang Warisan

Khamis, 4 Februari 2010

Mengapa Nantaboga Nusantara dipilih sebagai nama Blog saya?

Assalamualaikum

Mengikut kamus dewan edisi keempat, NANTABOGA atau Antaboga bermaksud nama bagi sejenis NAGA yang besar. NUSANTARA pula mengikut kamus dewan edisi kedua bermaksud kepulauan melayu. Makna bagi perkataan NANTABOGA NUSANTARA ialah Naga Nusantara.
Naga sering di kaitkan dengan sejenis makhlus dongeng berupa seperti buaya atau ular yang besar tetapi bersayap dan berkuku cekam, boleh menghembuskan api dr mulutnya. Ianya juga melambangkan kesaktian dan kekuatan. NANTABOGA Nusantara secara amnya di khususkan kepada penduduk Melayu Nusantara yang memerlukan kekuatan dan kesatuan untuk membela dan memperjuangkan bangsanya di Nusantara.
Melayu merupakan sebuah kolompok bangsa dan 99.9% daripadanya beragama ISlam. Jika sebut tentang Melayu, mesti saja beragama islam. tapi kalau sebut tentang Arab, ada islam,kristian,ada yahudi ,dll. kalau sbut mat saleh, ada kristian, ada islam dll tapi Bangsa Melayu memang terlalu Istimewa. Oleh itu Jagalah bangsa dan agama kita dari terus hilang dan lenyap di mata dunia. Melayu jangan terus layu. Tapi mesti maju dengan maha perkasa agar bukan saja gagah di Nusantara bahkan di dunia.
Takkan Melayu hilang di dunia,
Takkan ISlam terus di hina.



Rabu, 3 Februari 2010

Sekapur Sireh Seulas Pinang




Assalamualaikum WBT
Salam Sejahtera

Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM maka dengan ini saya membuka blog ini untuk berkongsi luahan rasa dan pendapat untuk panduan dan renungan kita bersama untuk terus melangkah dan memberikan Perjuangan ke arah kebenaran dan keadilan. Blog ini diterbitkan saya bukanlah hanya untuk bercakap tentang Politik semata-mata namun ianya juga akan dimuatkan dengan hal-hal yang melibatkan agama, bangsa dan negara.

Seperti yang diulaskan oleh saya di ruangan "Mengenai Saya", saya merupakan seorang manusia yang dirasakan jauh lagi untuk saya terlibat dalam isu-isu seperti ini namun disebabkan semangat dan azam yang tinggi untuk mengubah diri saya dan bangsa Malaysia untuk terus maju ke hadapan, saya mengalas cabaran ini untuk memberikan serba sedikit pendapat dan luahan hati saya. Saya juga berminat untuk mengetahui tentang suasana Politik Negara yang semakin hari semakin kecoh dengan pelbagai isu-isu yang diperbincangkan dan diperdebatkan. Saya juga acapkali bersuara dan berbincang dalam hal ini bersama rakan-rakan dan keluarga saya.

Sebagai anak Jati Pulau Pinang, tentulah dirasakan dalam jiwa saya untuk mengubah keadaan yang terpinggir dalam kalangan bangsa seagama saya di negeri ini. Saya tidak mahu hanya membiarkan saja atau menutup sebelah mata kepada mana-mana pihak yang cuba untuk MEMIJAK KEPALA bangsa saya sendiri. Sudahlah cukup kami terpinggir di negeri ini bahkan melayu sendiri susah mahu bersatu untuk membela bangsa mereka sendiri. Melayu sering dikaitkan dengan perasaan KUAT CEMBURU DALAM PERNIAGAAN. Bangsa ini sering kali cemburu dengan kejaaan orang lain dan bermula dari situlah mereka ini ingin meminta bantuan segala makhluk untuk menghancurkan perniagaan sesama bangsa mereka sendiri. Pantang melihat orang lain berjaya. Ada saja yang membuat syak wasangka buruk terhadap bangsa sendiri. Saya juga bukanlah bercakap tanpa asal usul periksa tetapi berdasarkan apa yang saya (KLBD)KAJI,LIHAT,BACA dan DENGAR. Bangsaku Melayu janganlah kau terus layu. Bangkitlah demi masa depan anak-anak cucumu dan demi Maruah agama dan bangsamu.

PErjuangan saya terhadap agama,bangsa dan negara tidak akan terhenti setakat ini. Saya akan mengulas lebih lanjut mengenai hal ini pada tajuk yang seterusnya dan yang akan datang.

Terima Kasih di atas kesudian anda membaca blog saya yang tak seberapa ini.
Berikan segala luahan rasa yang terkusut di minda anda dan kongsikan pendapat anda bersama kami.

Sekian
Wassalam

Mohamad Hakim