Selasa, 1 Jun 2010

Flotila Gaza diserang Israel


BAITULMAQDIS 31 Mei - Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel hari ini menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, setelah mendakwa mereka menghadapi tentangan tidak disangka-sangka ketika menaiki kapal tersebut.

Sebuah badan amal Turki menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada rakyat negara itu.

Kedua-dua belah pihak memberi maklumat berbeza-beza tentang apa yang berlaku dengan rejim Zionis mengarahkan semua maklumat berhubung mangsa yang cedera atau terbunuh dalam operasi kejam itu dihalang daripada disebarkan.

Berita terkini yang diperolehi menerusi khidmat pesanan ringkas daripada konvoi Life Line for Gaza (LL4G) dari Malaysia menyatakan bahawa satu daripada enam kapal dalam misi itu, Mavi Marmara telah diserang oleh helikopter tentera Israel pada pukul tujuh pagi waktu Mekah (kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

Persoalan masih berlegar mengenai nasib penerima anugerah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara dan ahli Parlimen Eropah yang juga bangsa Yahudi yang terselamat dari Holocaust, Hedy Epstein, 85.

Sementara itu, nasib wartawan Malaysia dari saluran Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip masih belum diketahui, namun enam lagi rakyat Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

'Flotila Pembebasan' itu menuju ke Gaza dalam misi untuk menarik perhatian dunia mengenai kepungan selama tiga tahun rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu selepas pergerakan Hamas mengambil alih kuasa di sana.

Kumpulan kapal itu mula menuju Gaza dari perairan antarabangsa Cyprus pada pukul tiga petang (pukul lapan malam tadi waktu Malaysia), dengan harapan dapat memasuki perairan Gaza pada waktu siang,

Enam jam selepas bertolak, tiga bot peluru berpandu Israel meninggalkan bandar Haifa untuk memintas flotila itu.

"Amat menjelikkan bila mereka naik ke atas kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam," kata jurucakap pergerakan Free Gaza, Greta Berlin yang menganjurkan flotila itu.

Hamas hari ini turut menyeru negara-negara Arab dan umat Islam 'bangkit' mengadakan protes di hadapan Kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah tindakan pasukan tentera laut rejim Zionis Israel itu,

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai 'pembunuhan besar-besaran' sementara Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menyifatkan ia sebagai 'jenayah' ke atas misi kemanusiaan.

Moussa juga meminta mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh badan yang dianggotai 22 negara Arab itu terhadap 'tindakan pengganas' Israel ke atas flotila bantuan antarabangsa itu.

Flotila tiga kapal kargo dan tiga kapal penumpang itu mengangkut 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis yang dilarang oleh rejim Zionis seperti simen dan bahan-bahan pembinaan lain.

Ini adalah kali kesembilan pergerakan Bebaskan Gaza cuba membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Ogos 2008.

Israel membenarkan kapal seumpamanya masuk lima kali tetapi telah menarik balik kebenaran itu daripada memasuki perairan Gaza sejak serangan ketenteraan Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009. - AFP/AP/Utusan

PRIHATINKAH ANDA?



Mutakhir ini kita acapkali digemparkan dan dikejutkan dengan pelbagai isu keruntuhan moral masyarakat kita dan yang paling hangat dan heboh diperkatakan samada dalam media cetak mahupun media elektronik ialah tentang isu pembuangan bayi yang sehingga kini masih tidak nampak hujung pangkal penyelesaiannya. Hari demi hari ada saja yang cuba membuang bayi di merata-rata tempat hasil daripada persetubuhan haram sehingga terlanjur mengandungkan anak luar nikah. Masalah ini yang kebanyakannya berlaku dalam kalangan remaja semakin hari semakin meruncing. Bahkan sabah hari kita digermparkan dengan isu-isu pembuangan bayi terpampang di dalam dada-dada akhbar. Lebih menyayat hati pabila ada bayi yang dibuang sehingga digigit semut, terputus telinganya digongong anjing, dilonggok dalam kawasan sampah-sarap sehingga berubat dan bermacam-macam lagi.


Bayi-bayi yang tidak berdosa ini ibarat kain putih yang masih suci dan bersih dalam di sebabkan kesempitan akal sesetengah pihak yang cuba mengambil jalan mudah dengan membuang anugerah dari Tuhan ini ke merata-rata tempat bagi mengelak keaiban diri sendiri akibat dari perbuatan persetubuhan haram ini. Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram ini dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah dan akhirnya hasil anak luar nikah dalam kandungan ini dibuang begitu saja tanpa rasa bersalah. Bila perut mula mengembung, pasangan mula menggelepur ketakutan. Si lebah mula menghilangkan diri entah ke mana setelah kenikmatan dirasai sehingga terlanjur dan memberi tekanan kepada si Bunga untuk menggugurkan kandungan akibat malu dan hina diaibkan sehingga heboh sekampung.


Persoalan utama yang berlegar-legar dalam minda adalah Adakah manusia zaman sekarang tidak mempunyai hati perut sehingga sanggup membuang bayi mereka di merata-rata tempat sehingga busuk dan berulat? Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang, jika bayi tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya. Malah tidak keterlaluan saya katakan bahawa kita kini kembali ke zaman Jahiliah semula di mana masyarakat Jahiliah sanggup berbuat apa saja ke atas anaknya akibat dari keruntuhan moral dan akidah dalam diri.


Secara amnya, kita juga tidak wajar menunding jari ke arah mereka sahaja. Jika dilihat dari sudut perspektif yang luas, persekitaran banyak mempengaruhi mereka terjebak dalam kancah penghinaan ini. Kebanyakan remaja-remaja terlanjur ini mempunyai latar belakang yang hampir sama. Kebanyakannya datang dari keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan terhadap pembentukan personaliti anak-anak khusunya apabila mereka meningkat remaja. Keluarga yang bermasalah inilah yang membentuk kesan negatif ke atas anak-anak mereka sendiri yang akhirnya cuba keluar dalam kepompong masalahan ini dengan mencari teman yang baru yang dapat mengubati keresahan mereka ini dengan memenuhi keperluan kewangan, hiburan, dan perkembangan emosi mereka. Tanpa disedari dan dikawal oleh ibu bapa, dari sinilah terbentuknya kelakuan negatif dan kebebasan diri mereka untuk terus merencana kehidupan sendiri mengikut kehendak hati tanpa pengawasan orang lain.Persekitaran inilah remaja mula belajar pelbagai perkara dan terjebak dengan gejala sosial yang akhirnya membawa kepada ketelanjuran.


Persekitaran yang lain juga membantutkan perubahan positif dalam diri remaja jika tidak dapat mengenal yang mana benar dan yang mana salah.Remaja kini juga dihambat kemewahan dan kemodenan di era globalisasi ini menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan nilai-nilai murni dalam diri. Pengaruh sosialisasi yang tidak terkawal menyebakan remaja muda masa kini terumbang-ambing dalam mengemudi kehidupan sehinggakan lupa akan akidah agama yang perlu diterapkan dalam jiwa.


Asas penting yang perlu kita kembali adalah dari soal AGAMA.

Jika seseorang itu berpegang teguh kepada Agama, saya pasti perkara ini tidak akan berlaku. Apa jua agama pun melarang membuang kurnian Tuhan dan menyuruh kita saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Jika ini dapat diterapkan, minda masyarakat akan lebih kehadapan dan gejala sosial dapat diselesaikan. Setiap Agama mengajar kita apa yang baik dan apa yang jahat. Kita sebagai manusia harus mempunyai akal yang waras untuk menentukannya.


Kaedah yang perlu dikenakan kepada tindakan sesetengah pihak yang buta perut dan sanggup membuang bayi-bayi ini di jalanan adalah hukuman yang berat agar ia akan menjadi sebuah pengajaran dan tauladan kepada orang ramai agar tidak melakukan gejala ini lagi daripada terus berleluasa. Selain itu, kerajaan juga perlu mewujudkan sebuah penggerak anti-pembuangan bayi agar terus melakukan pantauan dari semasa ke semasa dan melakukan tangkapan pihak-pihak yang melakukannya. Di samping itu, rohaniah dalam diri mereka jiga perlu diterapkan kembali melalui program-program agama, sukan, ceramah motivasi dan persatuan. Dengan cara ini, kita dapat melibatkan para remaja daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat. Kempen-kempen juga perlu juga diperluaskan di setiap pelusuk negeri bagi menyuntik lagi kesedaran dalam diri remaja agar usaha ini memang berbaloi. Dalam konteks ini, semua usaha ini perlu bermula sejak mereka di bangku sekolah lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya agar mereka sedar betapa mahalnya kurniaan maruah diri kepada setiap manusia supaya tidak disalah-guna dan akhirnya membawa kepada kelahiran anak luar nikah.


Sebagai penggulungan, ditegaskan sekali lagi bahawa masalah ini tidak akan menemui penyelesaian jika semua pihak asyik menunding jari ke arah sebuah pihak sahaja tanpa memikirkan dari sudut yang luas. Masyarakat janganlah bersikap acuh tidak acuh dalam masalah ini bahkan turut membantu bekerjasama bersama pihak lain menanganinya dengan lebih berkesan dan efiksyen. Seharusnya diingatkan bahawa Anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai kepada pasangan manusia yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan yang suci dan sah kerana secara fitrahnya setiap manusia berhajat dan mengharapkan kurniaan itu dilahirkan sempurna dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.


-Mohamadhakim